top of page

Pengenalan Tentang Pulau Duyong

Pulau Duyong adalah salah sebuah pulau daripada gugusan pulau-pulau di muara Sungai Terengganu. Pulau Duyong dipisahkan dari tanah besar oleh Sungai Terengganu dengan jarak yang paling jauh ialah 870 meter dan jarak paling hampir dengan tanah besar adalah sejauh 495 meter. Pulau Duyong terdiri daripada beberapa kampung iaitu Kampung Pulau Ketam, Kampung Kelab Ayer, Kampung Duyong Sekolah, Kampung Wan Su dan Kampung Pulau Duyong Kecil.

 

Sebelum tahun 1985, Pulau Duyong asalnya hanya terdiri daripada Pulau Duyong Besar dan Pulau Duyong Kecil yang terpisah antara satu sama lain oleh aliran sungai yang cetek. Namun disebabkan kerja-kerja pembangunan tanah dan pembinaan Jambatan Sultan Mahmud yang siap dibina pada tahun 1990, maka pulau-pulau tersebut telah digabungkan menjadi satu pulau yang besar. Menurut cerita orang terdahulu, pulau ini dikenali dengan nama Pulau Duyong kerana kononnya, suatu ketika dahulu didapati seekor ikan duyong terdampar di pantai pulau ini. Nama asal pulau ini adalah Pulau Peria.

02-03.png

Pulau Duyong terkenal dengan warisan budaya dan sejarah terutamanya pembuatan bot tradisional yang masih beroperasi dan mendapat sambutan hingga kini.

Bentuk rupa bumi Kampung Pulau Duyong secara keseluruhannya adalah tanah pamah yang rata permukaannya. Di sebelah barat Pulau Duyong terdapat Pulau Mandor, Pulau Che Yok dan Pulau Tengku Ngah. Manakala di sebelah timurnya pula ialah Pulau Kambing. Pulau Duyong mempunyai akses dan pintu masuk yang strategik di mana boleh dihubungkan sama ada menggunakan laluan darat ataupun laluan air. Laluan air dimana penggunaan bot penambang masih diteruskan sebagai pilihan perjalanan walaupun setelah adanya jambatan yang merentasi Sungai Terengganu.

 

Pulau Duyong mempunyai bilangan penduduk seramai lebih kurang 5,000 orang dengan kepadatan penduduk secara puratanya adalah 72 orang untuk satu hektar dan terletak kira-kira 5 kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu. Pulau Duyong terkenal dengan warisan budaya dan sejarah terutamanya pembuatan bot tradisional yang masih beroperasi dan mendapat sambutan hingga kini. Begitu juga dengan Kota Lama Duyong yang menjadi bukti penyebaran Islam berkembang bermula dari Pulau Duyong. Penduduk tempatan masih mengekalkan budaya dan cara hidup melayu dengan lebih 40% daripada penduduknya bekerja sebagai nelayan.

©2023 by Kota Lama Duyong

bottom of page