KOTA LAMA DUYONG

Sejarah Kota Lama Duyong
Kota Lama Duyong ini merupakan milik Dato Biji Sura yang merupakan cicit lelaki kepada tokoh agama terkenal bernama Tok Syeikh Duyong yang dikatakan berasal dari Champa dan berbangsa Cina. Dato Biji Sura atau nama sebenarnya Nik Mohamad Bin Hitam merupakan seorang hakim mahkamah syariah yang juga bertugas bersama pihak Inggeris di Mahkamah Balai dalam sesi perbicaraan kes Pemberontakan Kuala Berang pada tahun 1928. Dato Biji Sura meninggal dunia pada tahun 1943 akibat demam panas.
Terdapat 4 Fasa pembinaan rumah/Kota Lama Duyong:
Fasa pertama
Tiada tarikh yang paling tepat direkodkan tentang pembinaan rumah ini, namun ia dikatakan dibina bermula pada tahun 1919 dan mengambil masa sepanjang dua tahun untuk disiapkan. Namun ada juga sumber yang mengatakan bahawa tapak bangunan ini telah mula dibina seawal tahun 1850an di mana ia dibangunkan oleh orang tua Dato Biji Sura sendiri. Fasa pertama pembinaan dimulai dengan pembinaan rumah bujang berpeleh.
Fasa kedua
Fasa kedua pula melibatkan pembinaan rumah limas yang turut dikenali sebagai rumah tengah. Tahun pembinaan rumah ini dapat dilihat dengan jelas pada bahagian ukiran atau sobek bangunan ini. Tambahan bangunan ini juga dikatakan berlaku setelah Dato Biji Sura menikahi isteri kedua dan dikurnia dengan 5 orang anak.
Fasa ketiga
Rumah ini diperluaskan lagi dengan tambahan bangunan pada bahagian sorong hadapan dan diikuti dengan sorong belakang.
Fasa keempat
Peringkat terakhir bangunan ini melibatkan tembok yang berupa kota batu di sekeliling rumah dan juga kamar mandi dan telaga yang ditinggikan untuk kegunaan dan keselesaan penghuni.
![]() | ![]() | ![]() |
|---|---|---|
![]() |
Projek Restorasi
Inisiatif pertama restorasi Kota Lama Duyong bermula pada tahun 1994 apabila sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia menjalankan kajian dan pengukuruan bangunan setelah berlaku kebakaran pada bahagian utama bangunan dan juga peristiwa banjir besar masing-masing berlaku pada tahun 1987 dan 1986. Mengambil kira kepentingan dan keunikan bangunan ini dari sudut sejarah dan seni bina, usaha seterusnya dipanjangkan melalui pembinaan semula oleh pihak Kementerian Kebudayaan Dan Kesenian Malaysia pada tahun 1996. Usaha ini termasuklah kerja-kerja restorasi yang melibatkan kerja membaikpulih kota tersebut yang mengalami kerosakan teruk yang berpunca dari air deras banjir yang melanda pada tahun 1986 dan kebakaran pada tahun 1987.

Petikan akhbar The Star, bertarikh 7 April 1992 yang menceritakan tentang Kota Duyung dan langkah-langkah yang harus diambil oleh semua pihak dalam mengembalikan zaman keagungannya.
Fasa pertama projek membaikpulih bangunan itu siap pada bulan September 1999 tanpa mengubah rekabentuk asal. Manakala fasa kedua diikuti dengan pembangunan semula lanskap persekitaran bangunan oleh Universiti Teknologi Malaysia sekitar tahun yang sama dan diketuai oleh beberapa pasukan perunding dan penyelidik dari Fakulti Alam Bina. Setelah hampir 20 tahun, satu gerak kerja inventori telah dilaksanakan oleh pihak Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) ke atas bangunan sebagai langkah penyelenggaraan. Hasil daripada inventori tersebut, unit konservasi bangunan LMNT telah berjaya mendapatkan peruntukan bagi kerja-kerja penyelengaraan yang melibatkan baik pulih struktur sokongan dan struktur utama yang menyaksikan pembukaan semula Kota Lama Duyong pada bulan Februari 2022 setelah ditutup selama hampir 2 tahun.

Keratan akhar keluaran Berita Harian bertarikh 22 Disember 1990 yang memaparkan perkembangan dan tindakan yang akan dilakuakan keatas Kota Duyung. Ini adalah bukti pengalihan rumah Che Wook Maimunah dari dalam Kota Duyung.

Keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 21 Jun 1990 merupakan salah satu langkah media massa untuk menarik sesetengah pihak dalam membaik pulih Kota Duyung.




